Arus
globalisasi sememangnya tidak boleh dielak. Ia telah melewati sempadan
komunikasi, autonomi ekonomi, politik dan sosial dan telah mewujudkan
suatu budaya baru dalam berpandangan dan bersuara. Salah satu arus
globalisasi yang popular di kalangan remaja dan masyarakat setempat
ialah budaya hiburan yang terhidang dalam bentuk yang pelbagai. Melalui gajet-gajet yang dihasilkan oleh teknologi, remaja boleh
menikmati hiburan dalam apa jua bentuk melalui apa jua jenis media,
sebesar skrin wayang gambar sehingga sekecil telefon bimbit.
Selain itu, apa jua bentuk hiburan seperti nyanyian, konsert, filem,
drama dan sebagainya boleh dinikmati melalui televisyen yang semakin
berkembang isi kandungannya. Melalui komputer atau komputer riba pula,
pelbagai jenis bentuk hiburan boleh di muat turun dan dinikmati tanpa
mengira masa. Telefon bimbit yang dahulunya berfungsi sebagai alat perhubungan dan
pengerat silaturrahim, kini telah berbagai fungsi, bukan sahaja untuk
berbual tetapi juga menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan gambar
(MMS) dan akhirnya menjadi fungsi yang merosakkan apabila digunakan
dengan cara yang salah atau tidak terkawal.
Fenomena kebanjiran drama, sinetron dan filem-filem asing yang banyak
berunsurkan keganasan, penderaan, dendam, cinta serta sensasi
menggusarkan banyak pihak. Watak remaja yang dipaparkan seringkali tidak
seimbang dari aspek fizikal dan mental. Remaja dipaparkan sebagai manusia yang bertenaga (energetik) dan
berdaya saing tetapi aspek mental atau rohani pula, remaja yang
dipaparkan melalui filem adalah remaja yang lemah dan mudah terpengaruh
dengan budaya negatif. Malahan sering dipaparkan perwatakan remaja yang
tersalah haluan, tidak bijak memilih atau membuat keputusan dan
bertindak melulu seolah-olah tidak memikirkan langsung masa hadapan.
Unsur-unsur negatif yang ditonjolkan barangkali berniat untuk
menyedarkan tentang bahaya sesuatu kejahatan dilakukan, tetapi
persoalannya adakah remaja mempunyai daya tapis dan mentakrif yang
tinggi untuk menghargai mesej di sebalik drama-drama yang ditonjolkan? Apakah remaja akan lebih terkesan dengan drama yang sebahagian
besarnya menonjolkan watak-watak jahat dan kebaikan atau balasan
terhadap perbuatan yang jahat itu hanya muncul sedikit di penghujung
sesuatu kisah?
Begitu juga halnya dengan bidang penulisan, lebih-lebih lagi yang
berbentuk hiburan dan sensasi. Sekiranya remaja banyak dimomokkan dengan
cerita sensasi dan hiburan, dikhuatiri ia akan menjejaskan daya
pemikiran dan kreatif remaja sebagai pelapis akan datang. Justeru,
kebebasan untuk media dalam era teknologi informasi ini memang sangat
penting, tetapi kebebasan tentunya harus dilandasi kesedaran penuh untuk
bertanggungjawab.
Jika memang benar itu adalah paparan remaja Malaysia masa kini, media
seharusnya bertindak sebagai penapis atau wadah yang bertanggungjawab
membetulkan apa yang silap dan bertindak sebagai cermin diri yang boleh
memberi contoh dan pengajaran kepada masyarakat remaja. Apa-apa sahaja medium yang bergerak dalam masyarakat mempunya
tanggungjawab sosial yang besar dalam membawa masyarakatnya ke arah yang
lebih bertamadun dan bukannya menjatuhkan martabat atau merosakkan
masyarakat.
Dalam konteks semasa, pengaruh media akan dipengaruhi dari sejauh
mana pengguna media memiliki pengetahuan yang cukup dan menghargai
dengan baik media itu sendiri. Justeru di samping adanya tuntutan
komersialisasi dan upaya mengejar rating yang dilakukan oleh
pengamal media, tentunya hal yang penting harus dilakukan juga adalah
"bagaimana memperdayakan para penikmat media itu sendiri".
Penggunaan bahasa dan tingkah laku yang sesuai dalam menyampaikan
sesuatu pendapat atau rencana harus sentiasa diperhatikan. Justeru,
pihak media seharusnya sentiasa menjadikan nilai-nilai murni sebagai
pemberat kepada wacana yang mereka ingin sampaikan dan bukan bersifat
popular semata-mata. Penelitian tersebut sangat penting untuk dilaksanakan memandangkan
situasi hari ini memberi kesan kepada remaja yang akan datang terutama
untuk remaja yang kita dambakan pada tahun 2020 kelak.
Mesej yang ingin ditonjolkan oleh media harus mengambil kira aspek
isi kandungan, tema, penggunaan bahasa yang konsisten, adab dan nilai,
budaya dan sebagainya kerana media merupakan ejen penggerak kepada
pengukuhan perwatakan, emosi dan budaya remaja yang baik demi membina
negara pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, remaja adalah struktur masyarakat yang baru membentuk sebuah tiang
seri. Tiang seri itu harus kukuh dengan nilai jati diri yang baik dan
sekiranya tiang seri itu rapuh, maka bangunan yang ingin dihasilkan akan
runtuh menyembah bumi. Oleh itu, dalam dunia yang semakin mengecil ini, kita perlu
berhati-hati kerana globalisasi memang sukar kita tahan, apatah lagi
dengan pendedahan kepada siaran yang tidak membina pemikiran positif dan
nilai-nilai murni. Ini bererti peranan pendidikan informal di rumah yang dimonopoli oleh
ibu bapa terpaksa berdaya saing dengan media. Remaja harus menerima
maklumat daripada media dan mencernanya mengikut lingkungan yang benar
dan mengikut landasan agama dan syariat. Langkah ini seharusnya memerlukan bimbingan banyak pihak termasuk ibu
bapa serta masyarakat. Justeru, media massa sama ada media cetak atau
elektronik sememangnya memainkan peranan dalam membentuk pemikiran
remaja masa kini.


Dengan adanya, media massa pada msa kini yg BANYAK mempengaruhi remaja, ibu bapa perlu memainkan peranan masing2 supaya remaja tidak mudah terjebak dengan perkara NEGATIF, dan mereka akan lebih ALERT!!! dngan perkara yg berlaku dsekeliling...
ReplyDeletemedia massa mempunya kebaikan dan keburukan yang tersendiri...kita yang menggunakannya perlu menilai dan menggunakanya dengan sebaik mungkin..adakalanya ia mendatangkan kebaikan tpi ada kalanya keburukan yang kita dapat...
ReplyDeleteitulah kebaikan & keburukan yg dicipta olah Si Dia .. bergantung kpd kita yg nak memilh mana yg lebih baik .. =)
ReplyDelete