Wednesday, 4 September 2013

Pengaruh Media Massa Terhadap Remaja

Arus globalisasi sememangnya tidak boleh dielak. Ia telah melewati sempadan komunikasi, autonomi ekonomi, politik dan sosial dan telah mewujudkan suatu budaya baru dalam berpandangan dan bersuara. Salah satu arus globalisasi yang popular di kalangan remaja dan masyarakat setempat ialah budaya hiburan yang terhidang dalam bentuk yang pelbagai. Melalui gajet-gajet yang dihasilkan oleh teknologi, remaja boleh menikmati hiburan dalam apa jua bentuk melalui apa jua jenis media, sebesar skrin wayang gambar sehingga sekecil telefon bimbit.

Selain itu, apa jua bentuk hiburan seperti nyanyian, konsert, filem, drama dan sebagainya boleh dinikmati melalui televisyen yang semakin berkembang isi kandungannya. Melalui komputer atau komputer riba pula, pelbagai jenis bentuk hiburan boleh di muat turun dan dinikmati tanpa mengira masa. Telefon bimbit yang dahulunya berfungsi sebagai alat perhubungan dan pengerat silaturrahim, kini telah berbagai fungsi, bukan sahaja untuk berbual tetapi juga menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan gambar (MMS) dan akhirnya menjadi fungsi yang merosakkan apabila digunakan dengan cara yang salah atau tidak terkawal.

Fenomena kebanjiran drama, sinetron dan filem-filem asing yang banyak berunsurkan keganasan, penderaan, dendam, cinta serta sensasi menggusarkan banyak pihak. Watak remaja yang dipaparkan seringkali tidak seimbang dari aspek fizikal dan mental. Remaja dipaparkan sebagai manusia yang bertenaga (energetik) dan berdaya saing tetapi aspek mental atau rohani pula, remaja yang dipaparkan melalui filem adalah remaja yang lemah dan mudah terpengaruh dengan budaya negatif. Malahan sering dipaparkan perwatakan remaja yang tersalah haluan, tidak bijak memilih atau membuat keputusan dan bertindak melulu seolah-olah tidak memikirkan langsung masa hadapan.

Unsur-unsur negatif yang ditonjolkan barangkali berniat untuk menyedarkan tentang bahaya sesuatu kejahatan dilakukan, tetapi persoalannya adakah remaja mempunyai daya tapis dan mentakrif yang tinggi untuk menghargai mesej di sebalik drama-drama yang ditonjolkan? Apakah remaja akan lebih terkesan dengan drama yang sebahagian besarnya menonjolkan watak-watak jahat dan kebaikan atau balasan terhadap perbuatan yang jahat itu hanya muncul sedikit di penghujung sesuatu kisah?

Begitu juga halnya dengan bidang penulisan, lebih-lebih lagi yang berbentuk hiburan dan sensasi. Sekiranya remaja banyak dimomokkan dengan cerita sensasi dan hiburan, dikhuatiri ia akan menjejaskan daya pemikiran dan kreatif remaja sebagai pelapis akan datang. Justeru, kebebasan untuk media dalam era teknologi informasi ini memang sangat penting, tetapi kebebasan tentunya harus dilandasi kesedaran penuh untuk bertanggungjawab.

Jika memang benar itu adalah paparan remaja Malaysia masa kini, media seharusnya bertindak sebagai penapis atau wadah yang bertanggungjawab membetulkan apa yang silap dan bertindak sebagai cermin diri yang boleh memberi contoh dan pengajaran kepada masyarakat remaja. Apa-apa sahaja medium yang bergerak dalam masyarakat mempunya tanggungjawab sosial yang besar dalam membawa masyarakatnya ke arah yang lebih bertamadun dan bukannya menjatuhkan martabat atau merosakkan masyarakat.

Dalam konteks semasa, pengaruh media akan dipengaruhi dari sejauh mana pengguna media memiliki pengetahuan yang cukup dan menghargai dengan baik media itu sendiri. Justeru di samping adanya tuntutan komersialisasi dan upaya mengejar rating yang dilakukan oleh pengamal media, tentunya hal yang penting harus dilakukan juga adalah 

"bagaimana memperdayakan para penikmat media itu sendiri".

Penggunaan bahasa dan tingkah laku yang sesuai dalam menyampaikan sesuatu pendapat atau rencana harus sentiasa diperhatikan. Justeru, pihak media seharusnya sentiasa menjadikan nilai-nilai murni sebagai pemberat kepada wacana yang mereka ingin sampaikan dan bukan bersifat popular semata-mata. Penelitian tersebut sangat penting untuk dilaksanakan memandangkan situasi hari ini memberi kesan kepada remaja yang akan datang terutama untuk remaja yang kita dambakan pada tahun 2020 kelak.

Mesej yang ingin ditonjolkan oleh media harus mengambil kira aspek isi kandungan, tema, penggunaan bahasa yang konsisten, adab dan nilai, budaya dan sebagainya kerana media merupakan ejen penggerak kepada pengukuhan perwatakan, emosi dan budaya remaja yang baik demi membina negara pada masa hadapan.


Secara keseluruhannya, remaja adalah struktur masyarakat yang baru membentuk sebuah tiang seri. Tiang seri itu harus kukuh dengan nilai jati diri yang baik dan sekiranya tiang seri itu rapuh, maka bangunan yang ingin dihasilkan akan runtuh menyembah bumi. Oleh itu, dalam dunia yang semakin mengecil ini, kita perlu berhati-hati kerana globalisasi memang sukar kita tahan, apatah lagi dengan pendedahan kepada siaran yang tidak membina pemikiran positif dan nilai-nilai murni. Ini bererti peranan pendidikan informal di rumah yang dimonopoli oleh ibu bapa terpaksa berdaya saing dengan media. Remaja harus menerima maklumat daripada media dan mencernanya mengikut lingkungan yang benar dan mengikut landasan agama dan syariat. Langkah ini seharusnya memerlukan bimbingan banyak pihak termasuk ibu bapa serta masyarakat. Justeru, media massa sama ada media cetak atau elektronik sememangnya memainkan peranan dalam membentuk pemikiran remaja masa kini.







3 comments:

  1. Dengan adanya, media massa pada msa kini yg BANYAK mempengaruhi remaja, ibu bapa perlu memainkan peranan masing2 supaya remaja tidak mudah terjebak dengan perkara NEGATIF, dan mereka akan lebih ALERT!!! dngan perkara yg berlaku dsekeliling...

    ReplyDelete
  2. media massa mempunya kebaikan dan keburukan yang tersendiri...kita yang menggunakannya perlu menilai dan menggunakanya dengan sebaik mungkin..adakalanya ia mendatangkan kebaikan tpi ada kalanya keburukan yang kita dapat...

    ReplyDelete
  3. itulah kebaikan & keburukan yg dicipta olah Si Dia .. bergantung kpd kita yg nak memilh mana yg lebih baik .. =)

    ReplyDelete